Di usia kritikal dalam proses pencarian dan meneroka ini, naluri seksual mereka yang mula subur perlu dipimpin.
Menjadi ibu kepada anak remaja rasanya lebih tercabar dari membimbing mereka di usia kecil. Dalam usia mereka yang sudah baligh, lagak dan keputusannya bagaikan ingin melepasi keputusan orang tua mereka. Pada mereka, apa yang sesuai dengan selera nafsu itulah yang indah.
Di usia kritikal dalam proses suka meneroka dan mencuba-cuba ini, naluri seksual mereka yang mula subur perlu dipimpin. Ibu bapa perlu lebih rapat dengan mereka sebagai kawan kerana keras melentur akan menyebabkan mereka semakin jauh dari kita.
Terlalu lembut mengatur, bimbang-bimbang kita diperbudakkannya pula, kerana tipu helah dalam memancing kehendak agar setiap hajat mereka dipenuhi ibu bapa tetap ada. Itulah lumrah kehidupan remaja.
Dalam ‘berkawan’ dengan mereka, ketegasan dalam mendidik jangan dilupa. Setiap ibu bapa mesti tanamkan wawasan mendidik anak lelaki untuk membentuk mereka menjadi pemimpin keluarga. Manakala mengasuh anak remaja perempuan supaya bakal menjadi ibu solehah yang berpendidikan tinggi. Untuk itu, pada usia menjelang baligh lagi mereka perlu ditegaskan tentang hukum-hakam Islam.
Segala yang difardukan ke atas mereka telah mereka tanggung dosa pahala dan baik buruknya bila sudah baligh. Pada setiap saat, amalan buruk dan baik akan dicatat oleh Malaikat Rakib dan Atid di atas nama mereka sendiri, bukan di atas nama ibu bapa lagi.
Lantaran itu, beberapa perkara perlu diberi penekanan dalam membimbing mereka menjaga kehormatan diri, seterusnya terhindar dari gangguan dan penyimpangan seks.
Kenal pasti cara berpakaian
Pakaian menutup aurat sudah jadi kemestian bagi anak yang telah baligh. Kita sebagai ibu bapa mesti dimaklumkan setiap kali mereka hendak keluar rumah. Selain dapat memantau pergerakan mereka, kita dapat melihat pakaian yang mereka pakai. Ibu bapa yang sayang anak tidak akan mengizinkan anak perempuan keluar rumah dengan pakaian yang menjolok mata. Terdedah di bahagian yang sepatutnya ditutup atau berpakaian ketat menampakkan bentuk pinggul, peha dan payu dara yang menggiurkan. Tudung hendaklah labuh melepasi dada, bukan sekadar menutup rambut.
Trend hari ini remaja perempuan suka memakai t-shirt dua lapis iaitu lapisan tangan panjang di dalam dan baju tangan pendek di luar. Tidak salah berfesyen tetapi biarlah bersesuaian dengan norma-norma Islam. Pakaian dua lapis itu pastikan longgar dan melepasi paras pinggul. Gunakan seluar yang longgar.
Bagi remaja lelaki, cara berpakaian juga perlu dilihat agar tidak keterlaluan hingga hilang nilai budaya Melayu dan Islam. Aurat lelaki walaupun di antara pusat hingga ke lutut namun memakai seluar pendek menampakkan paras peha tidak dibolehkan (haram).
Nabi s.a.w. suatu ketika telah melihat seorang lelaki yang terselak peha, lalu baginda menasihatinya, “Tutup pehamu kerana sesungguhnya peha itu adalah aurat.” (Riwayat Hakim)
Adab berpakaian di dalam rumah
Baik lelaki atau perempuan, adab berpakaian dalam rumah sangat perlu diperhatikan. Ibu bapa juga tidak boleh berpakaian sewenang-wenangnya. Atas dasar ingin mendidik anak-anak, kita perlu berpakaian sopan walaupun di dalam rumah.
Malah anak-anak juga perlu dipesankan agar menjaga aurat walaupun bersendirian di tempat yang tersorok seperti di dalam bilik tidur atau bilik air, kerana ada malaikat yang sentiasa mengawasi kita dan Allah yang maha memerhati. Malaikat makhluk yang paling taat kepada Allah, sangat malu kepada orang yang mendedahkan aurat.
Cara berhias
Ajarkan anak remaja perempuan cara berhias yang betul, bukan ajar mereka cara mana nak pikat lelaki. Memadai mengenakan solekan yang tipis sesuai dengan usia. Baca doa sebelum berhias. Elakkan bermekap atau berwangi-wangian secara keterlaluan.
Memadai memakai sedikit pewangi berbau segar sekadar untuk mengelakkan bau busuk badan. Gincu yang terlalu terang atau pakaian berwarna pink boleh menggiurkan pandangan lelaki dan mudah mendorong ke arah rangsangan seksual. Orang lelaki suka melihat bibir mongel wanita ketika bercakap.
Oleh itu ingatkan mereka supaya berwaspada selalu, lebih-lebih lagi berdepan dengan anak-anak teruna yang baru baligh. Kepada anak lelaki yang mula mencecah alam baligh (10-15 tahun) yang digelar amrad, jika telah tumbuh misai, galakkan mereka menyimpan misai nipis supaya terserlah sifat kelelakiannya. Tanpa misai mereka akan kelihatan ‘manis’ dan digilai oleh sesetengah lelaki atau wanita. Kegilaan itu mungkin cenderung kepada rangsangan seks.
Teman keluar rumah
Kenal pasti teman anak remaja kita ketika mereka hendak keluar rumah. Dan pesankan, sebelum keluar hendaklah baca doa, al-Fatihah dan ayat Kursi supaya langkah yang diatur dilindungi malaikat. Bagi ibu bapa yang bekerja, ambil sedikit maklumat tentang kawan-kawan anak supaya mudah dikenali perawakan diri mereka. Sesekali kita boleh hubungi keluarga mereka untuk membina silaturrahim di samping bertukar pandangan berkaitan perkembangan anak-anak.
Cara jalan dan percakapan
Ajarkan anak remaja perempuan cara bercakap ketika berhadapan dengan lelaki yang bukan muhram. Suara biar tegas, tidak lunak manja hingga membuat lelaki tergoda. Memang pada usia remaja, anak perempuan suka disapa oleh lelaki.
Suka kalau menjadi bahan siulan lelaki. Terasa diri paling cantik dan ketika itu apa saja produk kecantikan kalau disuruh cuba pasti segera dicari walaupun terpaksa ikat perut simpan duit belanja sekolah. Bagi remaja lelaki pula, cabar-mencabar untuk memikat gadis sunti menjadi satu hobi. Seolah-olah hilang kejantanan jika gagal memikat. Itulah lumrah kehidupan remaja jika tidak ada perasaan malu.
Sebagai ibu bapa, selalulah ingatkan mereka agar mempunyai sifat malu dan sentiasa rasa diawasi oleh Allah s.w.t. Di sinilah unsur-unsur didikan iman perlu selalu diterapkan supaya mereka tahu matlamat hidup sebenar bukanlah untuk berfoya-foya.
Bimbing anak yang baru baligh
Apabila ada tanda-tanda baligh pada anak – perempuan didatangi haid, lelaki mengalami perubahan suara dan halkum lebih nampak, maka tanggungjawab ibu bertanyakan perkembangan perubahan diri pada anak perempuan dan tanggungjawab bapa bertanya perkembangan anak lelakinya.
Anak lelaki hendaklah ditanya, pernahkah dia mengalami mimpi ghairah hingga keluar air mani. Wajib memaklumkan kepadanya tentang mandi hadas besar dan cara-cara mandi serta istinjak. Tidak cukup hanya mengharapkan pembelajaran agama di sekolah.
Jika ibu bapa juga kurang arif, wajib mencari guru untuk belajar. Bagi anak perempuan, penjagaan semasa haid perlu dititikberatkan. Antaranya tentang tempoh putaran haid, penggunaan tuala wanita, menjaga seluar dalam dan sebagainya.
Jaga batas pergaulan keluarga
Perlu diingatkan kepada anak-anak yang telah baligh bahawa mereka telah subur dan perlu menjauhi sebarang kelakuan yang boleh mendorong ke arah rangsangan seksual dan perbuatan zina, seterusnya kehamilan di luar nikah.
Oleh itu, batas pergaulan antara adik-beradik perlu dititikberatkan. Anak gadis tidak boleh sewenang-wenangnya berpelukan dengan adik-beradik lelaki atau ayah, lebih-lebih lagi dengan pakaian yang menjolok mata. Lazimkan mereka meminta izin untuk masuk ke bilik satu sama lain, lebih-lebih lagi bilik ibu bapa. Anak lelaki jangan semberono masuk ke bilik adik-beradiknya yang perempuan, begitu juga sebaliknya.
Jaga pandangan mata
Awasi segala macam bahan bacaan, bahan tontonan, poster dan sebagainya yang mungkin ada unsur-unsur rangsangan seks. Bermula dengan melihat bahan-bahan lucah, remaja akan mudah terlibat dengan penyimpangan seks akibat ingin mencuba.
Pesankan kepada anak-anak, orang yang suka melihat kemaluannya atau melihat gambar lucah akan gelap hati dan susah menerima hidayah dari Allah. Kesimpulannya, pendidikan seks untuk anak-anak menjelang dan sesudah baligh ini merangkumi soal aurat, batas pergaulan, batas berhias, menyembunyikan daya tarikan seks (sex appeal), bahana zina, tundukkan pandangan, tentang haid, mimpi basah, mandi junub dan sebagainya.
Penekanan diberi agar anak dapat menghindari rangsangan seks melalui pandangan mata, kata-kata, sentuhan, bau dan pendengaran. Difahamkan rahsia di sebalik perintah Allah “Jangan kamu hampiri zina”. Bahawa seks yang confirm selamat hanya terdapat di dalam perkahwinan yang sah – selamat dari campur aduk keturunan, selamat dari penyakit serta selamat dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.
Tidak dapat tidak, kita perlu cuba banyakkan masa untuk dekati anak-anak ini kerana mereka sangat memerlukan kita sebagai kawan untuk berkongsi cerita, baik anak lelaki atau perempuan. Terangkan bahawa wawasan ibu ayah ialah ingin melihat mereka berkahwin dengan orang soleh dan solehah serta mendapat zuriat soleh.
Jadi, suasana persekitaran anak kita juga mesti didorong ke arah itu. Ilmu-ilmu berkaitan kerukunan rumahtangga perlu mereka pelajari – melalui pemerhatian yang diteladani dari ibu ayah dalam mentadbir keluarga. Jika ibu bapa serius dalam membentuk anak-anak seperti mana yang ditekankan dalam al-Quran, insya-Allah mereka akan mencontohi kita atau menjadi lebih baik dari kita.
Yakinlah, Allah tidak pernah mempersia-siakan usaha baik setiap hamba-Nya. (Koleksi ANIS / Oleh: Jalilah Abdullah)

KATEGORI
Print Artikel
Kirim ke Teman
Save as PDF