Pendidikan Seks Anak Muslim (Siri 1)

October 10, 2007
Rating : Average Rating : 4.75 From 4 Voter(s)


Dihantar oleh ad   
Usah Biarkan Anak-anak Terjebak ...

Ramai ibu bapa semakin gusar dengan sumber maklumat dan didikan seksual yang diperolehi oleh anak-anak mereka. Apa tidaknya! Kanak-kanak kini amat mudah terdedah kepada bahan-bahan seksual di dalam pelbagai bentuk media di sekeliling mereka. Tanpa bimbingan untuk menapis dan menyaring maklumat maka dibimbangi keadaan ini akan menjadi benih yang membarah gejala sosial di tengah masyarakat. 

Ibu bapa juga nyata gugup dan tenggelam punca untuk berhadapan dengan anak-anak mereka yang semakin cepat matang dalam soal-soal seksual.

Sikap tertutup dalam persoalan seksual sudah tidak lagi relevan. Justeru timbul desakan agar pendidikan seks diperkenalkan secara terbuka di sekolah. Alasannya agar ada keselarasan dalam penyaluran maklumat dan pendedahan persoalan seksual dari sumber yang sihat dan bertanggungjawab. (Namun tersirat di sebaliknya juga ialah sikap sesetengah ibu bapa yang mahu berlepas tangan daripada tanggungjawab pendidikan terhadap anak-anak mereka.) 

Sebenarnya dalam institusi keluarga mukmin telah ada modul asas didikan seksual. Pokok-pokok pengajarannya telah digariskan oleh Sayidina Umar al-Khattab. Beliau menganjurkan para Sahabat untuk mengajar anak-anak mereka isi kandungan ayat-ayat dari surah an-Nur di dalam al-Quran. Ini kerana di dalamnya terdapat banyak pokok pelajaran mengenai pembinaan akhlak dan pembentukan sikap yang mampu diterapkan sejak masih kanak-kanak lagi.  

Antara kandungan surah an-Nur ialah memahami betapa pentingnya didikan moral dan seksual, anjuran untuk berkahwin dan memudahkan perkahwinan, keburukan yang terjadi dari perbuatan zina dan li’an, batas-batas pergaulan di luar dan di dalam rumah, adab-adab bergaul dan berhubung dengan orang-orang tua dan saudara-mara yang bukan muhrim hinggalah kepada tata cara membina rumahtangga.   

Pembinaan etika seksual sebagaimana yang terkandung di dalam surah an-Nur boleh diterapkan bertahap-tahap dalam tiga fasa.  

Fasa Pertama (2–6 tahun): 

Islam meletakkan target agar setiap anak-anak menjelang baligh pada usia 15 tahun telah terbina dalam diri mereka etika seksual yang terpimpin. Didikan dianjurkan bermula sedari anak kecil sudah boleh membezakan antara tangan kanan dan kirinya. Peringkat umur demikian dinamakan mula mumaiyiz iaitu sekitar usia 2 tahun.  

Pada saat itu anak-anak kecil sudah dianggap mampu berkomunikasi dua hala dan melaksanakan suatu bentuk perintah (suruhan atau larangan). Mereka sudah boleh mula diperkenalkan dengan beberapa tugasan dan kewajipan dalam hidup.

Ini dikiaskan daripada sabda Rasulullah s.a.w.: “Apabila anak telah mulai boleh membezakan antara tangan kanan dan kirinya maka suruhlah ia melakukan solat.” (Riwayat Thabrani dan Abu Daud) 

Pembinaan etika seksual di usia mumaiyiz adalah dengan cara membentuk dan mempengaruhi kanak-kanak.

Belum masanya mereka diajar dasar ilmu dan hukum secara ilmiah. Jauh sekali daripada latih tubi dan penguatkuasaan disiplin. Ini kerana mereka masih belum cukup akal. Kanak-kanak di usia ini suka meniru dan mencontohi.  Mereka amat mudah dipengaruhi oleh ibu bapa dan juga suasana sekeliling. Justeru ibu bapa harus menjadi suri teladan yang baik kepada anak-anak.

Mereka juga perlu membentuk suasana rumahtangga yang dapat membantu pembentukan akhlak dan keperibadian yang mulia.  Kanak-kanak di usia ini suka bermain, dibelai dan dimanja. Oleh itu mereka amat mudah dipengaruhi dengan banyak diajak bermain dan bergurau.

Lebih-lebih lagi apabila asuhan adab dan kebiasaan kaya dengan kasih sayang. Apabila telah terbukti kepada anak-anak bahawa mereka dikasihi bukan dibenci maka perubahan pendekatan didikan kepada yang lebih berat dan serius akan mudah diterima. 

Fasa Kedua (7-10 tahun): 

Apabila kanak-kanak berusia sekitar 6 tahun, lazimnya mereka telah ‘cukup akal’ dan sempurna mumaiyiz. Ketika itu akalnya sudah berkembang dan boleh menimbang. Mereka sudah boleh membezakan antara yang betul dan salah, baik dan buruk serta sudah pandai mandi dan berpakaian sendiri.  

Rasa ingin tahunya amat tinggi dan mereka sudah sedia untuk pembelajaran secara ilmiah. Pendekatan didikan di usia demikian ialah mengajar dan melatih.

Mereka harus mula diajar hukum-hakam, syarat dan rukun dan diajak mengamalkan hukum secara formal dengan lebih serius. Malah diperkukuhkan melalui latihan, peraturan dan penguatkuasaan disiplin. Contohnya Nabi s.a.w. menyarankan agar anak-anak pada usia 7 tahun diajak mengerjakan solat secara tetap. Jika masih cuai setelah mencapai umur 10 tahun  maka dikehendaki dihukum dengan dipukul.  

Demikian juga apabila telah berusia 10 tahun Nabi s.a.w. memerintahkan agar anak-anak dipisahkan tempat tidur. Iaitu dipisahkan tidur dengan ibu bapanya dan juga sesama sendiri dalam satu selimut. Demikian juga ada baiknya diasing tempat tidur dalam bilik berlainan antara anak laki-laki dan perempuan. Peraturan dan disiplin pergaulan sama ada di dalam rumah ataupun di luar sudah mula boleh diperketatkan.

Setelah berlaku pengasingan bilik tidur, anak-anak diasuh meminta izin masuk ke bilik ibu bapa atau sesama adik-beradik. Etika meminta izin ini mendidik anak-anak menghormati maruah, kebebasan dan hak peribadi orang lain. Ia juga menyedarkan anak-anak bahawa mereka juga ada hak peribadi dan maruah diri yang harus dipertahankan dan dihormati oleh orang lain.  

Fasa Ketiga (11–15 tahun): 

Apabila anak-anak mendekati belasan tahun, ibu bapa harus lebih terbuka dalam membiacarakan soal-soal seksual. Anak-anak mula bangkit dorongan seksualnya kerana semakin matang perkembangan tumbesaran tubuh badan mereka.  

Tanda-tanda baligh seperti ‘mimpi basah’, keluar mani, datang darah haid dan tumbuh bulu ari-ari sudah di ambang pintu. Mereka semakin segan-silu dan malu-malu untuk membicarakannya. Namun ibu bapa perlu bijak dan berhikmah mencari jalan mengutarakannya.   

Sebenarnya apabila mengajar atau berbincang dengan anak-anak mengenai ilmu fardu ain yang berkaitan dengan fekah (terutama bab ibadah dan munakahat), ibu bapa boleh mencelah dengan didikan seksual.

Contohnya apabila berbicara mengenai bersuci dari hadas besar tentunya akan berjumpa dengan istilah-istilah air mani, darah haid, nifas, istihadhah, wiladah, bersetubuh dan lain-lain.  Maka bolehlah mencelah memperjelaskan tentang kitaran darah haid, masa subur, peranan hormon-hormon estrogen dan testerogen, tentang ovum dan sperma, persenyawaan, kehamilan, keguguan dan seumpamanya. 

Begitu juga ibu bapa harus mengambil peluang ‘mencelah’ didikan seksual ketika bersua isu-isu seksual di dada akhbar dan majalah ataupun ketika menonton televisyen bersama anak-anak. Demikian juga apabila hamil dan bersalin ataupun ketika isu jenayah seksual sedang hangat diperkatakan.  

Di samping memberi penjelasan, ibu bapa juga harus memasukkan didikan iman dan akhlak yang bertunjangkan takwa. Ini kerana benteng diri untuk menapis dan menyaring maklumat serta mengekang nafsu terhadap godaan dan rangsangan seksual tidak lengkap tanpanya. Harus disedari bahawa punca gejala seksual ialah rapuhnya iman dan kuat serta liarnya nafsu yang tidak terpimpin.  (Koleksi ANIS / Oleh: Roslan Kassim)







Print Article Print Artikel
Send to a friend Kirim ke Teman
Save as PDF Save as PDF
Rate this Article :

1

2

3

4

5

6

7

8

9

10
Poor Excellent